Saturday, 28 November 2020

RESEPI IKAN PUYU MASAK ACAR

Ikan Puyu atau Ikan Karuk (panggilan nama di negeri Sabah dan Brunei) atau nama saintifiknya (Anabas testudineus) merupakan spesies ikan air tawar yang paling lasak. Sawah atau tali air serta sungai kecil menjadi habitat utama spesies ini. Bersisik dan bersirip keras memudahkan spesies ini bergerak di atas tanah yang berair kerana pada ketika tertentu pada musim hujan, kebanyakanya berpindah dan akan memanjat tebing sungai mencari lopak air yang lain. Ia paling layak digelar spesies yang suka berhijrah. Spesies ini juga mampu bertahan tanpa air hingga enam hari selagi dikekalkan lembab. Ikan puyu dewasa mampu menjangkau panjang kira-kira 25 cm atau 9.8 inci.

Spesies ini hidup secara berkumpulan dan lantaran itu, spesies ini mudah terancam oleh aktiviti-aktiviti penangkapan ikan seperti jaring, pukat, jala, tuba dan pancingan yang keterlaluan (tanpa mengamalkan kaedah 'tangkap dan lepas' bagi yang bersaiz kecil).Terdapat kepercayaan dalam masyarakat Melayu yang mana spesies ini mampu menghalang tuan rumah daripada dipukau oleh orang yang ingin masuk mencuri. Ini disebabkan ikan ini dipercayai tidak tidur. Lantaran itulah masyarakat Melayu telah lama memelihara spesies ini di dalam rumah untuk tujuan itu.

BAHAN BAHAN

  • 15 ekor Ikan Puyu (digoreng)
  • 2 biji Timun – dibuang biji, potong memanjang
  • 1 batang Lobak Merah – buang kulit, potong kecil memanjang
  • 2 sudu besar Rempah Kari Daging
  • 5 tangkai Cili Hijau
  • 4 sudu besar Minyak Masak


BAHAN B - KISAR

  • 5 tangkai Cili Kering
  • 1 sudu besar Udang Kering
  • 1 ulas Bawang Putih
  • 1 ulas Bawang Merah


BAHAN C

  • 2 sudu besar Kerisik
  • 1 sudu besar Garam
  • 3 sudu besar Gula
  • 1 sudu besar Biji Sawi
  • 2 sudu besar Cuka atau Air Asam Jawa
  • 1 cawan Air
  • Bunga Lawang
  • Bunga Cengkih
  • Kulit kayu manis


CARA PENYEDIAAN

  1. Goreng Ikan Puyu,  jangan terlalu garing. Angkat dan tos minyaknya.
  2. Rendam Timun & Lobak Merah bersama air kapur serta garam. Kemudian cuci hingga bersih.
  3. Perap seketika Timun dan Lobak Merah tadi dengan Garam & Gula. Kemudian toskan.
  4. Tumis kesemua bahan B hingga pecah minyak.
  5. Masukkan Rempah Kari Daging dan gaul rata.
  6. Masukkan kesemua bahan C, dan kacau sehingga pekat.
  7. Kemudian, masukkan Timun dan Lobak Merah dan Cili Hijau. Gaul hingga Timun serta Lobak Merah mesra dan sebati dengan Rempah.
  8. Akhir sekali,  masukkan ikan puyu yang telah digoreng pada awal tadi.
  9. Siap dan sesuai dihidangkan bersama nasi putih

No comments:

Post a Comment